KENYATAAN MEDIA KUASA: TIDAK RAMAI AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI DI PERAK DAN SELANGOR BERJAYA BERKOMUNIKASI DENGAN RAKYAT SECARA EFEKTIF. KAD LAPORAN PRESTASI SETAHUN BAGI NEGERI PERAK DAN SELANGOR AKAN DIKELUARKAN PADA 5 MEI 2014

KUASA telah memasuki bulan kelima dalam memantau perkembangan kedua-dua kerajaan negeri Perak dan Selangor dan tindak balas ahli dewan undangan negeri-negeri (ADUN) tersebut berhubung komunikasi dengan rakyat.

Projek ini adalah projek perintis.  Ini adalah kali pertama sesebuah kerajaan negeri di Malaysia dipantau sejak dari penggal pendek(tahun pertama) tentang janji yang telah dibuat dan kemampuan mereka dalam menunaikan janji-janji tersebut. KUASA menguji tahap tindak balas kesemua wakil rakyat di negeri- negeri tersebut secara menyeluruh.

Hasil dapatan daripada ujian yang dilakukan buat kali pertama, dengan penilaian terhadap kerajaan negeri, akan dikeluarkan sebelum 5 Mei, sempena ulang tahun PRU13.

KUASA ingin memberikan kuasa kepada rakyat dengan memberikan rakyat informasi berobjektif berkaitan dengan kerajaan negeri mereka serta ADUN-ADUN agar rakyat dapat membincangkan keadaan kerajaan negeri dan wakil rakyat mereka secara lebih konstruktif. KUASA ingin meluaskan skop pemantauan ke negeri lain dan akhirnya memantau kerajaan persekutuan.

 

Kad Laporan Prestasi Tahun 1 Perak dan Selangor

Walaupun tahap tindak balas ADUN ditunjukkan secara menyeluruh seperti yang dapat dilihat di dalam laman web KUASA, kad laporan yang akan keluar Mei ini lebih menyeluruh skopnya kerana ia menilai prestasi kerajaan negeri Perak dan Selangor, melalui self-evaluation bercampur dengan feedback dari pembangkang negeri dan juga stakeholders negeri seperti perniagaan, syarikat sosial, masyarakat dan pelbagai persatuan.

Dengan itu kajian Kuasa lebih bernas dan bermakna bila menimbang berapa janji yang dibuat oleh Kerajaan BN Perak dan Kerajaan PR Selangor termakbul, sejak PRU13.

Laporan ini akan dipaparkan di laman web mykuasa.org  sebelum 5 Mei,2014. Pengumpulan data telah bermula sejak kelmarin, kerana tempoh penilaian adalah antara Mei 5 2013 sehingga 31 Mac 2014.

Janji-janji yang dipantau diambil daripada manifesto parti-parti pada PRU yang lalu, dan telah dibentangkan kepada kerajaan negeri Perak dan Selangor. Kerajaan negeri diberi peluang untuk memperbetulkan info yang dikutip oleh KUASA berkenaan janji-janji mereka.

Penilaian akan dilakukan berdasarkan beberapa kriteria:

  • Penilaian kendiri oleh kerajaan negeri-50%
  • Penilaian daripada pihak pembangkang-20%
  • Penilaian daripada pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan dengan janji-30%

Dengan separuh daripada penilaian dibuat oleh kerajaan negeri, ada pihak-pihak tertentu yang akan menanyakan kesahihan projek ini. Tetapi kekuatan proses Kuasa dalam penilaian ini adalah kerajaan-kerajaaan negeri kini membuat deklarasi apa yang telah dijayakan oleh mereka dan yang masih dalam implementasi atau perancangan. Kerajaan negeri perlu menghantar self-evaluation sebelum April 15 2014.

 

Tindak balas ADUN Perak dan Selangor

Hanya lima daripada 114 orang ADUN berjaya mendapatkan keseluruhan tanda aras hijau KUASA. 

Penilaian dilakukan menerusi penggunaan mystery guest. Mesej meminta bantuan ditulis kepada ADUN-ADUN dari akaun email, Facebook dan Twitter mystery guest dan response rate dari ADUN-ADUN menentukan gred hijau, oren atau merah.

Hasil dapatan tertera pada muka surat pertama laman web, dengan 23% daripada Perak dan 67% daripada Selangor membalas sekurang-kurangnya satu daripada tiga saluran yang dipraktikkan oleh mystery guest.

Ujian ini tidak melibatkan cara hubungan tradisional seperti telefon, surat dan faks. Kebanyakan rakyat di negeri tersebut mempunyai akses kepada internet, maka, wakil rakyat di tempat-tempat tersebut seharusnya boleh dihubungi melalui internet juga.

Satu tren yang membimbangkan adalah apabila alamat pejabat DUN atau ADUN dihubungi, kerana e-mel yang dihantar tidak dibalas atau tidak berjaya dihantar ke alamat e-mel yang didapati, pejabat DUN atau dalam beberapa kes ADUN sendiri yang meminta pemanggil supaya menulis surat atau menghantar faks aduan kepada pejabat DUN berbanding mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Hal ini mungkin menyebabkan ADUN tersebut kehilangan sokongan daripada pengundi generasi Y dan generasi X, kerana kebanyakan ADUN memaparkan alamat e-mel, Facebook dan Twitter mereka. Terdapat lebih kurang 14 juta pengguna Facebook di Malaysia, maka, wakil rakyat tidak sepatutnya mempunyai sebab untuk tidak mempunyai akaun dan aktif di Facebook.

Apabila e-mel tidak berjaya dihantar kepada alamat e-mel yang tertera di laman web atau blog ADUN, KUASA mengambil beberapa inisiatif untuk memberikan peluang kepada ADUN untuk memberi respon dengan:

  • Jika tiada alamat e-mel atau e-mel tersebut tidak berjaya dihantar, KUASA akan menelefon pejabat DUN atau ADUN untuk mendapatkan alamat e-mel sebenar
  • Sekiranya tiada balasan daripada ADUN, KUASA akan menelefon pejabat DUN atau ADUN untuk memastikan yang wakil rakyat berkenaan telah menerima e-mel tersebut.
  • Menghantar mesej ke semua akaun Facebook yang berkemungkinan besar dimiliki oleh ADUN. Mesej dihantar lagi setelah beberapa hari sekiranya tiada balasan daripada ADUN.
  • Menghantar Tweet secara berterusan kepada akaun Twitter ADUN sehingga tiga kali sekiranya tiada balasan.

KUASA telah menyenaraikan beberapa perkara yang berjaya dikenalpasti sepanjang pemantauan dibuat:

  • ADUN lebih cepat memberikan tidak balas menggunakan akaun yang diuruskan sediri oleh beliau berbanding dengan akaun yang diuruskan oleh staf pejabat atau sukarelawan. ADUN Tanjong Sepat  N54 (Selangor) YB Haslin Hassan, telah membalas e-mel yang dihantar kepada beliau dalam masa 30 minit namun tidak pernah membalas mesej di Facebook yang dihantar kepada beliau berkali-kali. Manakala ADUN Morib, N53 YB Hasnul Baharuddin telah menjawab mesej di akaun Facebook beliau dalam masa 12 jam namun masih belum membalas e-mel yang dihantar kepada beliau melalui alamat e-mel yang diberikan oleh pejabat DUN.
  • Sesetengah ADUN yang kurang dikenali telah memberi respon yang baik dan mempunyai rancangan yang menyeluruh. ADUN Kuala Kubu Baru, N06, Selangor Lee Kee Hiong berjaya membalas kesemua e-mel, mesej di Facebook dan Twitter dalam hari yang sama, dan salah satunya hanya berjarak 15 minit. Begitu juga dengan ADUN (Selangor) Gombak Setia N17 Hasbullah Ridzwan, Teratai N22 Tiew Way Keng, Kinrara N30 Ng Sze Han, Bukit Gasing N34 Rajiv Rishyakaran and  Kampung Tunku N35 Lau Weng San. (Perak) Pasir Pinji N27 Howard Lee, Trong N15 Zabri Abd Wahid, Sitiawan N50 Ngeh Koo Kam and Teja N45 Chang Lih Kang.
  • Selangor mendahului Perak dari segi komunikasi dengan nisbah 3:1,  Selangor mendapat 67% manakala Perak hanya berjaya mendapat 23%.
  • KUASA mendapati wakil rakyat yang memegang lebih daripada satu posisi dalam kerajaan negeri kurang memberi respon.
  • ADUN BN kurang memberi respon berbanding ADUN Pakatan Rakyat.
  • Melalui pemantauan tersebut, KUASA mendapati bahawa:
  • Komunikasi dengan ADUN menjadi sukar kerana ADUN mempunyai lebih daripada satu akaun. Contohnya, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mempunyai empat akaun Facebook. Kesemua akaun tersebut aktif, tetapi tiada satu pun yang memberi respon kepada mesej yang diberikan kepada YB.
  • Komunikasi kepada ADUN terbantut kerana pautan hubungan yang lapuk seperti ADUN Belanja,YB Mohd Nizar Zakaria menggunakan pautan ybnizarzakaria.com sebagai website terbaru beliau namun blog lama beliau (ybnizarzakaria.blogspot.sg/) masih boleh diakses tetapi tidak aktif sejak tahun 2011.
  • Komunikasi dengan ADUN terhalang kerana akaun yang tidak aktif. ADUN N29, Seri Serdang di Selangor mempunyai akaun Facebook (https://www.facebook.com/pages/Calon-PAS-N29-Seri-Serdang/392695540817947)  yang diwujudkan pada  Januari 2013, berkemungkinan diwujudkan selepas PRU13, namun sudah tidak aktif sejak Jun 2013.
  • Pejabat ADUN memberikan alamat e-mel tetapi mungkin tidak menguruskan e-mel tersebut.

Proses ini telah diinspirasikan untuk membantu ADUN dan juga pengundi di kawasan Perak dan Selangor. Justeru, kebaikan laman web mykuasa.org termasuklah:

  1. ADUN mempunyai pihak neutral yang memantau tahap komunikasi mereka, seperti mana syarikat mempunyai pelanggan rahsia untuk mengekalkan tahap kualiti mereka. ADUN boleh menghubungi pihak KUASA untuk maklum balas kualitatif.
  2. ADUN boleh memulakan langkah penambahbaikkan seperti membetulkan akaun Facebook, memansuhkan laman blog atau web yang sudah tidak digunakan serta mewujudkan sistem maklum balas agar mereka dapat memberikan respon kepada rakyat dengan lebih baik
  3. Pengundi di kawasan Perak dan Selangor mempunyai sebuah laman web yang berpusat mengenai kesemua ADUN mereka, yang mengandungi cara untuk menghubungi ADUN mereka.

 

Release Date: 
Rabu, April 2, 2014